ANTARA warga asing yang ditahan dalam Op Ikrar, kelmarin. FOTO Ihsan JIM Selangor
ANTARA warga asing yang ditahan dalam Op Ikrar, kelmarin. FOTO Ihsan JIM Selangor
Nurul Hidayah Bahaudin


KAWASAN perindustrian dikesan menjadi lokasi pilihan kalangan warga asing untuk bekerja dan tinggal di negara ini untuk mencari rezeki bagi menampung kehidupan.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor Mohamad Shukri Nawi berkata, pihaknya menerima aduan dan rungutan awam berhubung lambakan warga asing di sekitar Subang Jaya, Klang, Puchong dan Jenjarom yang juga adalah kawasan perindustrian.

Katanya, berikutan itu pihaknya melakukan Op Ikrar bermula jam 5 petang kelmarin hingga 1 pagi semalam dengan kekuatan 14 pegawai dan anggota JIM Selangor di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap 80 warga asing, seramai 46 daripada mereka berusia 20 hingga 55 tahun termasuk enam wanita ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, India, Myanmar dan Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, kebanyakan warga asing terbabit bekerja di premis makanan.

Menurutnya, mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pas yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan mereka terutama di Selangor bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 10:39 AM