Irwan Shafrizan Ismail


SERAMAI 421,706 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 pada 13 November hingga 13 Disember ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebanyak 3,308 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara.

“Seramai 33,361 petugas peperiksaan sudah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

“Calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan seramai 362,754 atau 86 peratus daripada keseluruhan calon yang mendaftar.

“Calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan seramai 9,427 orang, calon sekolah menengah agama negeri (8,160), calon sekolah menengah agama rakyat (2,059), calon sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (14,001) dan calon persendirian seramai 25,305,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my.

“Calon diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 11:16 AM