SUSPEK. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK. FOTO Ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


HANYA kerana dendam lama, dua lelaki menyerang dua beranak dengan bersenjatakan pisau di sebuah rumah di Taman Tunku Putra, Kulim, semalam.

Pada kejadian 10.30 malam itu, bapa mangsa berusia 50-an bengkak di kepala, luka di mulut dan lebam di badan, akibat dipukul dengan topi keledar.

Bagaimanapun, anaknya yang berusia 20-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, ketika kejadian, suspek bersama dua lelaki lain datang ke rumah itu dengan menaiki motosikal.

Katanya, mereka kemudian memaki hamun lelaki berusia 20-an itu dan memintanya keluar dari rumah.

Bagaimanapun, mangsa yang ketakutan masuk ke dalam rumah sebelum dua lelaki itu melompat masuk ke dalam pagar rumah.

“Lelaki itu menghubungi bapanya, namun sebaik orang tuanya tiba, suspek terus menyerang dua beranak itu dan mengacukan pisau.

“Suspek dipercayai turut memukul bapa lelaki itu dengan topi keledar.

“Jiran mangsa kemudian menyedari kejadian menyebabkan suspek melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.

Ahmad Nasir berkata, susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kulim.

“Polis kemudian menahan suspek pertama berusia 19 tahun. Dia menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim pada 12.45 tengah malam.

“Seorang lagi suspek berusia 30 tahun ditahan di Taman Tunku Putra, pada 3.24 pagi ini, ” katanya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit mengaku terbabit dalam kejadian itu.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek sebelum ini.

“Bagaimanapun, polis masih melakukan siasatan lanjut bagi mengetahui motif sebenar kejadian.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 1:16 PM