Mohamad Nazilman maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya terbabas. FOTO Ihsan Pembaca
Mohamad Nazilman maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya terbabas. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Rohana Idris

LELAKI maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pokok di Jalan Kampung Jubakar di Tumpat pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Mohamad Nazilman Abd Rahman, 27, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tumpat.

Rakan mangsa, Eh Wut Eh Not, 36, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kini dirawat di hospital sama akibat cedera di bahagian kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan dari arah Tumpat menghala ke Pengkalan Kubor.

“Apabila tiba di kawasan kejadian, kenderaan mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Seterusnya kenderaan itu melanggar pokok yang berada di bahu jalan sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 10:39 PM