DATUK Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. FOTO Arkib NSTP
Hidayatul Akmal Ahmad


DATUK Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (UMNO-Putrajaya) mengakui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggilnya lebih 12 kali berhubung isu penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu membuat pendedahan berkenaan susulan kekecohan berkaitan isu terbabit pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

“Banyak yang cakap saya tidak dipanggil SPRM. Sebenarnya saya sudah dipanggil lebih 12 kali dan saya sudah memberi maklumat atas apa yang saya tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian berikutan soalan tambahan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) yang mendakwa penjualan 64 lot tanah milik DBKL di bawah harga pasaran dilakukan dengan kebenaran bekas menteri itu.

Tengku Adnan bingkas bangun dan membidas Kok Wai.

“Untuk makluman Cheras, kamu tuduh saya. Tuduh saya di luar (dewan), saya akan bawa kamu ke mahkamah,” katanya sebelum mengemukakan soalan tambahan.

Tengku Adnan turut membuat penjelasan tidak mempunyai kaitan dengan kelulusan penjualan tanah di Wilayah Persekutuan.

“Berkenaan masalah tanah di Wilayah Persekutuan, waktu saya ambil alih sebagai menteri pada 2013, saya pulangkan kepada Jabatan Perdana Menteri.

“Saya tiada kena mengena dengan kelulusan tanah di Wilayah Persekutuan,” katanya sambil menjelaskan turut dipanggil SPRM berhubung isu itu.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad mengakui isu penjualan tanah berkenaan turut membabitkan pihak lain.

“Beberapa keping tanah diakui asalnya dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang ditukar ke DBKL dan dijual.

“Bagaimanapun, itu tidak menafikan hak bahawa hasil rundingan kita mendapat RM149 juta lebihan yang mana ia adalah bukti jelas tanah itu dijual pada harga lebih rendah berbanding sepatutnya.

“Saya akui bukan hanya DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan terbabit, exco tanah dan (Ahli Parlimen) Putrajaya (Tengku Adnan) bukan pengerusi.

“Apa yang berlaku ialah harga dijual rendah dan tidak ikut prosedur dan kita serahkan kepada SPRM,” katanya.

Terdahulu, Kok Wai meminta kerajaan menjelaskan bilangan tanah di Kuala Lumpur yang dijual DBKL di bawah harga pasaran kerana didakwa mempunyai unsur penyelewengan.

Pada 9 Oktober lalu, Khalid dilaporkan berkata, sejumlah RM149 juta diperoleh menerusi rundingan semula 16 daripada 23 transaksi jualan tanah seluas 104 hektar milik DBKL.

Rundingan semula itu dilakukan Jawatankuasa Khas susulan tindakan kerajaan terdahulu yang dikatakan menjual tanah berkenaan pada harga lebih rendah daripada pasaran sehingga merugikan DBKL.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 2:19 PM