PENGUAT kuasa membuat pemeriksaan. FOTO Ramdzan Masiam
PENGUAT kuasa membuat pemeriksaan. FOTO Ramdzan Masiam
Shamsul Munir Safini


MAKAN sekotak coklat berharga RM100 untuk kuatkan tenaga batin. Itu taktik pemborong barangan kosmetik di Bukit Mertajam yang mendakwa makanan coklat yang dijual di premisnya boleh merawat penyakit kronik termasuk menguatkan tenaga batin.

Namun, ia ternyata auta semata-mata sebelum kesemua makanan tambahan yang didakwa mampu merawat pelbagai penyakit itu dirampas penguat kuasa daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, hari ini.

Difahamkan, pengguna yang mengambil coklat berkenaan boleh berdepan pelbagai penyakit termasuk kerosakan buah pinggang.

Dalam serbuan itu, makanan tambahan kesihatan itu didapati mempunyai tuntutan perubatan palsu pada label selain tidak memiliki alamat pengimport.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Wan Mansor Hamzah berkata, susulan itu, pihaknya merampas sejumlah 73 kotak, sembilan botol dan dua tin makanan kesihatan yang dikesan melakukan kesalahan itu.

Beliau berkata, nilai keseluruhan produk yang dirampas adalah RM2,806 dan pihaknya juga mengeluarkan tiga notis kepada pengeluar produk serta pemilik syarikat berkenaan.

“Antara kesalahan lain yang dikesan ialah tiada alamat pengimport selain produk yang membuat dakwaan seperti mampu mencegah penyakit jantung, mengubati resdung, darah tinggi yang tidak dibenarkan dalam undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi bermula pagi sehingga petang, pihaknya memeriksa lima premis di Jalan Baru, Prai; Perda, Seberang Perai Selatan, Bayan Lepas dan Bukit Mertajan.

“Kita merampas 800 kotak makanan kesihatan yang dianggarkan bernilai RM 25,943.

“Selain itu, pihaknya juga mengeluarkan lima notis kompaun dengan kesemuanya bernilai RM15,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 7:51 PM