BERNAMA

PEMILIHAN PKR di beberapa cabang di Selangor hari ini kecoh berikutan dakwaan kehadiran ‘pengundi hantu’ selain pertembungan penyokong calon-calon bertanding sehingga menimbulkan ketegangan.

Proses pemilihan di cabang Selayang kecoh apabila sekumpulan individu yang dipercayai berasal dari Sabah dihalang memasuki pusat pengundian di Bandar Country Homes oleh beberapa anggota parti dan peraih undi yang sangsi dengan kehadiran mereka.

Keadaan semakin kecoh apabila seorang lelaki dalam kumpulan itu mendakwa mereka diarahkan oleh seseorang yang dipercayai calon untuk jawatan peringkat pusat mengundi di cabang berkenaan.

Peraih undi yang hanya mahu dikenali sebagai Liew dan terbabit ‘menangkap’ kumpulan berkenaan, mendakwa mereka adalah ‘pengundi hantu’ kerana semakan kad pengenalan mendapati mereka bukan anggota PKR.

“...mereka tiada dalam sistem,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang bertanding jawatan naib presiden, ketika ditemui semasa meninjau proses pemilihan tersebut menyuarakan kebimbangan tentang aspek keselamatan proses pemilihan berkenaan.

"Bagaimana mereka yang bukan ahli tetapi masih dapat resit yuran keahlian dan resit kod bar QR undi mengundi… ini bermakna sistem kita masih dibolosi dan ini perlu diperkemaskan lagi," katanya.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut tidak menolak kemungkinan ada pihak menggunakan taktik kotor dalam pemilihan itu.

Pemilihan di cabang Gombak juga turut dicemari kekecohan termasuk membabitkan kejadian memukul sesama anggota susulan tindakan beberapa anggota parti berkempen di dalam pusat pengundian.

Selain itu, tindakan agresif seorang pemuda yang juga anggota parti selepas melihat bapanya ditolak ketika mengiringi calon ke pusat pengundian tersebut turut mencetuskan kekecohan, memaksa campur tangan pengawal keselamatan.

Pemuda itu kemudian ditahan oleh polis yang berkawal dan dibawa ke balai polis bergerak di situ.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang bertanding jawatan ketua cabang, memohon maaf kepada penduduk di sekitar Batu Caves yang terjejas dengan kesesakan trafik di hadapan Dewan Sri Siantan, Jalan Sungai Tua, lokasi pengundian cabang tersebut.

Tujuh daripada 22 cabang PKR Selangor mengadakan proses pemilihan parti hari ini, fasa kedua pemilihan di negeri itu.

Seramai 83,934 anggota layak mengundi membabitkan cabang Puchong dengan 17,748 pengundi, Gombak (9,921), Petaling Jaya Utara (6,136), Petaling Jaya Selatan (7,906), Kuala Langat (14,121), Klang (12,998) dan Selayang (15,104).

Selain Selangor, proses pengundian juga berlangsung di Perlis membabitkan 5,490 anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 8:36 PM