PORT DICKSON 13 OKTOBER 2018. Taufik Hidayat Abdul Malik, 33, (kanan) dan isteri Maizatul Banazir Saliha, 34, (kiri) membawa bersama tiga anak mereka yang mahu melihat suasana mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kemang. STR/ADZLAN SIDEK
PORT DICKSON 13 OKTOBER 2018. Taufik Hidayat Abdul Malik, 33, (kanan) dan isteri Maizatul Banazir Saliha, 34, (kiri) membawa bersama tiga anak mereka yang mahu melihat suasana mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kemang. STR/ADZLAN SIDEK
Raja Noraina Raja Rahim


IBARAT melentur buluh dari rebung, suami isteri membawa bersama anak mereka bagi melihat sendiri kemeriahan suasana Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, hari ini.

Taufik Hidayat Abdul Malik, 33, dan isteri, Maizatul Banazir Saliha, 34, membawa bersama tiga anak mereka iaitu kembar lelaki berusia tujuh tahun dan bayi perempuan berusia setahun ketika keluar mengundi.

Taufik yang ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kemang di Port Dickson berkata, anak kembarnya meminta untuk ikut serta kerana mahu melihat suasana mengundi.

"Pada PRU-14 hanya saya dan isteri yang keluar mengundi tetapi kali ini saya bawa anak-anak, sekurang-kurangnya mereka mendapat pengetahuan baru.

"Walaupun cuma menunggu di luar pusat mengundi, kemeriahan pilihan raya tetap dirasai tetapi seorang anak lelaki kami merajuk tidak dapat masuk melihat saya mengundi," katanya yang menetap di Kampung Teluk Kemang.

Terdahulu, beliau menemani isterinya mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Intan Perdana.

Taufik Hidayat yang juga kakitangan kerajaan berkata, suasana mengundi kali ini dilihat lebih meriah berbanding PRU-14 lalu.

"Orang yang keluar mengundi kelihatan tak ramai, tetapi kemeriahan kempen dan kehadiran jentera merayu undi di luar pusat mengundi amat ketara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 6:13 PM