Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Sebanyak 14 kontinjen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) membabitkan hampir 1,200 atlet akan berentap pada Sukan Gemaputera pada 22 hingga 26 November ini.

Yang Dipertua Gemaputera Malaysia, Wan Adnan Wan Derahman berkata,

kejohanan dwitahunan yang kali terakhir diadakan pada 2018 itu bukan saja mecungkil bakat baharu, malah mengukuhkan kerjasama antara agensi.

Beliau berkata, kejohanan yang diadakan di dua daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus itu membabitkan lapan jenis sukan iaitu golf, badminton, ping-pong, bola jaring, futsal, boling, dart dan karom.

"Selain mengukuhkan kerjasama antara agensi, kejohanan ini juga mampu merancakkan sektor pelancongan sukan di Terengganu.

"Kita percaya menerusi kejohanan ini membantu ekonomi setempat selain persaingan sihat di gelanggang merebut pingat emas Sukan Gemaputera yang ditawarkan," katanya.

YANG Dipertua Gemaputera Malaysia, Wan Adnan Wan Derahman (enam kanan) bersama ketua Kontijen menjelang Kejohanan Sukan Gemaputera pada majlis penyerahan penaja dan Bendera Kontijen di Menara PMINT. FOTO Ghazali Kori
YANG Dipertua Gemaputera Malaysia, Wan Adnan Wan Derahman (enam kanan) bersama ketua Kontijen menjelang Kejohanan Sukan Gemaputera pada majlis penyerahan penaja dan Bendera Kontijen di Menara PMINT. FOTO Ghazali Kori

Wan Adnan berkata, selaku tuan rumah mereka meletakkan sasaran memungut pingat emas menerusi acara badminton, golf, futsal, ping-pong dan boling.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berkata, kali terakhir kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan pada 1996 dan diharap mampu mencipta kejayaan sama tahun ini.

"Kita juga menjangkakan saingan sengit daripada juara bertahan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perbadanan Johor (JCorp).

"Sekalipun tidak membariskan pemain bertaraf negeri atau kebangsaan, saya optimis kontinjen Terengganu sudah bersedia memberi saingan sengit untuk memburu pingat emas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 10:47 PM