MOHD Rashid  menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat PERKESO kepada balu mangsa, Zuraida Kamsi di  Jalan Kluang, semalam.
MOHD Rashid menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat PERKESO kepada balu mangsa, Zuraida Kamsi di Jalan Kluang, semalam.
Mohamad Fahd Rahmat

Batu Pahat: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberi amaran kepada mana-mana majikan supaya tidak menipu dalam penyediaan slip gaji pekerja atau berdepan tindakan tegas undang-undang.

Timbalan Pengurus PERKESO Batu Pahat, Mohd Saifuddin Mohd Nor berkata, perbuatan itu boleh menyebabkan kelewatan proses tuntutan faedah PERKESO sekiranya pencarum ditimpa bencana di tempat kerja.

Menurutnya, ia juga menyebabkan kehidupan mangsa atau waris yang ditinggalkan bertambah sukar.

“Ada kes majikan menyatakan pekerjanya yang bertugas sebagai pemandu lori syarikat penunda kenderaan hanya menerima gaji RM1,000 sebulan walaupun gajinya mencecah RM4,000 sebulan.

“Mangsa yang sama juga pernah patah tangan kerana terbabit dalam kemalangan di tempat kerja, namun majikan tidak melaporkannya kepada PERKESO menyebabkan mangsa gagal mendapat faedah sewajarnya.

“Majikan juga enggan membayar duit minyak kenderaan jika mangsa men-
desaknya menyediakan slip gaji sebenar hingga menyebabkannya beralah.

“Mangsa tidak dapat menerima faedah sewajarnya hingga meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Ayer Hitam pada 21 September lalu ketika bekerja,” katanya, semalam.

Mohd Saifuddin berkata demikian selepas menziarahi keluarga mangsa di Taman Cempaka Parit Haji Sidek, Jalan Kluang di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Menurutnya, sekiranya pencarum meninggal dunia kerana terbabit dalam bencana di tempat kerja, waris menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) iaitu 90 peratus bayaran daripada gaji kasar.

“Jika kematian bukan disebabkan bencana di tempat kerja, hanya 65 peratus bayaran daripada gaji kasar diberikan kepada waris pencarum yang dipanggil pencen penakat,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan dan majikannya diminta membayar jumlah caruman PERKESO yang gagal dijelaskan sebelum tuntutan FOT diluluskan kepada waris mangsa.

“Majikan yang tidak melaporkan bencana di tempat kerja kepada PERKESO boleh didakwa mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang boleh dihukum denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 11:44 AM