MUHAMMAD Amirul Hasnor Hassan maut dipercayai lemas selepas kenderaan yang dipandu terbabas dan terhumban kedalam parit di Jalan Batu 8, berhampiran Rumah Pam Kerian,Sungai Bogak. FOTO Ihsan Bomba
MUHAMMAD Amirul Hasnor Hassan maut dipercayai lemas selepas kenderaan yang dipandu terbabas dan terhumban kedalam parit di Jalan Batu 8, berhampiran Rumah Pam Kerian,Sungai Bogak. FOTO Ihsan Bomba
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


LELAKI maut dipercayai lemas selepas kereta dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam parit di Jalan Batu 8, berhampiran Rumah Pam Kerian, Sungai Bogak, Bagan Serai, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa Muhammad Amirul Hasnor Hassan, 25, yang memandu Honda Civic, dikatakan terperangkap di dalam kenderaannya dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan selepas mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan itu oleh anggota bomba.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Nasrizal Safila Abu Samad berkata, sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan pada 2.17 pagi.

Menurutnya, anggota yang tiba di lokasi mendapati kereta yang terhumban ke dalam parit itu dalam keadaan terbalik.

"Pihak bomba dimaklumkan terdapat mangsa di dalam kenderaan itu dan kami terpaksa menarik kereta itu menggunakan kabel dari jentera kerana pintu kenderaan itu tidak dapat dibuka akibat tekanan arus deras parit di situ.

"Sejurus kenderaan dinaikkan, anggota segera mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bahagian tempat duduk pemandu tanpa menggunakan sebarang peralatan khas.

"Mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dihubungi NSTP pagi tadi.

Menurutnya, operasi tamat pada 3.18 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 9:15 AM