Pandangan sebahagian ruang udara klia2 yang dirakam dari Pusat Kawalan Trafik Udara CAAM KLIA yang bakal ditutup ruang udara selama lima hari bermula 27 Ogos ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Pandangan sebahagian ruang udara klia2 yang dirakam dari Pusat Kawalan Trafik Udara CAAM KLIA yang bakal ditutup ruang udara selama lima hari bermula 27 Ogos ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Veena Babulal

PELAN luar jangka, termasuk lencongan laluan penerbangan akan dilaksana sepanjang tempoh lima hari penutupan sementara ruang udara sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihak berkuasa berkaitan mempunyai pelan alternatif, susulan keputusan kerajaan mengumumkan penutupan ruang udara secara sementara sempena sambutan Hari Kebangsaan, berkuat kuasa 27 hingga 31 Ogos ini.

“Ya, kita ada, ia termasuk lencongan. Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mempunyai pelan berkenaan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dalam satu kenyataan, hari ini mengumumkan penutupan sementara itu bagi tempoh mulai jam 9 hingga 10.30 pagi, berkuat kuasa dari 27 hingga 31 Ogos.

Keresahan mula tercetus dalam kalangan pengguna apabila unjuran mendapati kira-kira 100 penerbangan akan terjejas susulan pengumuman dibuat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) itu.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan menjelaskan langkah penutupan ruang udara itu mencetuskan kesan terhadap 498 penerbangan, iaitu masing-masing 98 penerbangan (24 ketibaan dan 74 berlepas) pada 27 Ogos; 101 penerbangan (30 ketibaan dan 71 berlepas) pada 28 Ogos; 99 penerbangan (26 ketibaan dan 73 berlepas) pada 29 Ogos; 99 penerbangan (28 ketibaan dan 71 berlepas) pada 30 Ogos dan 101 penerbangan (31 ketibaan dan 70 berlepas) pada 31 Ogos.

CAAM mengesahkan bahawa notis kepada Anggota Penerbangan (NOTAM) bertarikh 6 Ogos lalu dikeluarkan sebagai makluman mengenai penutupan ruang udara secara sementara kepada industri penerbangan yang beroperasi di KLIA dan klia2.

Bagaimanapun, Pengerusi MAVCOM, Dr Nungsari Ahmad Radhi, ketika dihubungi menafikan kemungkinan mengenai sebarang pelan lencongan penerbangan oleh syarikat berkaitan susulan keputusan menutup ruang udara secara sementara itu.

Katanya, syarikat penerbangan sepatutnya memaklumkan hal terbabit kepada penumpang, dengan syarat notis mengenai keputusan itu dibuat lebih awal.

“Saya tidak pasti mengenai pelan lencongan ke lapangan terbang lain. Mungkin tidak akan berlaku. Mereka (syarikat penerbangan) mengambil masa terlalu lama untuk memaklumkan kepada penumpang. Syarikat penerbangan sewajarnya berbuat demikian lebih awal,” katanya.

Rentetan isu terbabit, Nungsari berkata mana-mana penumpang yang tidak berpuas hati dengan tatacara pengurusan syarikat penerbangan berkaitan boleh memfailkan aduan menerusi laman web MAVCOM, iaitu www.mavcom.my

Semakan di laman web suruhanjaya berkenaan mendapati, satu saranan dikeluarkan kepada penumpang yang menempah penerbangan menerusi KLIA dan klia2 sepanjang tempoh dari 27 hingga 31 Ogos supaya menghubungi syarikat penerbangan sebelum memulakan perjalanan.

Difahamkan, Kementerian Pengangkutan mengadakan pertemuan dengan peneraju syarikat penerbangan utama pada 2 Ogos lalu, sebelum satu notis dihantar menerusi emel kepada semua syarikat penerbangan empat hari berikutnya.

Langkah itu sekali gus menafikan sebarang dakwaan bahawa syarikat penerbangan tidak diberikan tempoh mencukupi untuk merangka pelan luar jangka susulan penutupan sementara ruang udara di sekitar KLIA dan klia2.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam (4PAM) menerusi kenyataan berkata, CAAM berhak mengarahkan penutupan sementara ruang udara kerana ia membabitkan kepentingan negara.

“Syarikat penerbangan sudah semestinya mempunyai klausa untuk memulangkan atau mengatur semula jadual penerbangan susulan keputusan CAAM,” katanya tanpa menyatakan sebarang pendirian sama ada tempoh notis yang dikeluarkan mencukupi bagi pihak berkaitan merangka pelan luar jangka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 11:53 PM