Daim bersama Zeti (empat dari kanan) pada sidang media penyempurnaan majlis mandat 100 hari Pakatan Harapan di Menara Ilham. FOTO Saifullizan Tamadi
Daim bersama Zeti (empat dari kanan) pada sidang media penyempurnaan majlis mandat 100 hari Pakatan Harapan di Menara Ilham. FOTO Saifullizan Tamadi
Saadiah Ismail

PERTEMUAN kali terakhir Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) semalam, selepas berakhirnya tempoh mandat 100 hari mengembalikan pentadbiran negara kepada kaedah yang betul, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, penubuhan MPK adalah tidak sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan dengan keahliannya bukanlah individu dipilih oleh rakyat dan tidak mengangkat sebarang sumpah jawatan untuk akses kepada rahsia kerajaan.

Katanya lagi, kuasa Kabinet perlulah dikembalikan semula di bawah Perlembagaan selepas berakhirnya mandat MPK yang diketuai oleh bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.

“Sistem urus tadbir negara memberi kuasa mutlak kepada Kabinet yang terdiri daripada Ahli Parlimen dipilih rakyat. Ia adalah satu kemestian apabila menjadi menteri Kabinet.

“Dan itu adalah cara sepatutnya untuk mentadbir negara berdasarkan Perlembagaan. Malah ramai Ahli Parlimen lain turut mempersoalkan bidang kuasa MPK,” katanya ketika ditemubual oleh portal berita di kediamannya di Kuala Lumpur, hari ini.

Tempoh mandat 100 hari kerajaan Pakatan Harapan berakhir semalam dan barisan anggota MPK sedang menyediakan laporan berhubung segala usaha yang dilaksanakan selama tiga bulan itu.

MPK turut dianggotai bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Hassan Merican; tokoh korporat, Robert Kuok dan ahli ekonomi terkemuka negara, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

MPK ditubuhkan pada 12 Mei lalu oleh PeDr Mahathir untuk menjadi penasihat ekonomi, kewangan dan hal-hal lain.

Ketika ditubuhkan dulu, banyak laporan menyebut ia diwujudkan untuk tempoh 100 hari saja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 12:10 AM