LIM Guan Eng. FOTO arkib NSTP
LIM Guan Eng. FOTO arkib NSTP
Hidayatul Akmal Ahmad


MENTERI KEWANGAN, Lim Guan Eng, akan memberi keterangan kepada polis, berhubung dakwaan kehilangan RM19.25 bilion dalam Tabung Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) minggu depan.

Guan Eng berkata, kerjasama penuh diberikan kepada polis menunjukkan kerajaan baharu kini mahu kebenaran didedahkan dalam skandal terbabit.

“Datuk Seri Najib Razak (bekas perdana menteri) enggan menjawab mengenai penglibatan beliau sebagai Menteri Kewangan dalam masalah ini dengan mengatakan bahawa saya harus membuat laporan polis.

“Polis akan mengambil keterangan saya minggu depan. Justeru Najib tidak akan ada alasan lagi untuk mengelak daripada menjawab tiga soalan penting berhubung kehilangan RM19.25 bilion dalam Tabung Bayaran Balik GST yang menjejaskan 121,429 syarikat dan individu.

“Sejumlah besar daripada syarikat dan individu yang terjejas, sekarang bertanya-tanya mengapa ia tidak dibayar balik dalam masa dua minggu seperti yang termaktub di dalam undang-undang,” katanya menerusi kenyataannya, hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, ketika ini bayaran balik itu tidak dapat dilakukan kerana hanya ada RM148.6 juta dalam Tabung Bayaran Balik GST.

“Kerajaan Persekutuan sekarang menghadapi kekurangan RM19.25 bilion akaun Tabung Bayaran Balik GST yang sepatutnya berjumlah RM19.4 bilion.

“Ini disahkan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam yang mengatakan bahawa Kastam Diraja Malaysia menuntut wang itu daripada mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tabung Bayaran Balik GST.

“Walaupun RM82.9 bilion perlu dipindahkan ke tabung itu sejak 2015, hanya RM63.5 bilion sahaja telah dipindahkan,” katanya.

Katanya, mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tabung Bayaran Balik GST dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar, sejak 2015.

Beliau mendakwa, walaupun semua keputusan dibuat Irwan, namun Najib masih memainkan peranan yang penting kerana hanya Menteri Kewangan mempunyai kuasa meluluskan agar RM19.25 bilion tidak dipindahkan ke dalam Tabung Bayaran Balik GST ataupun bayaran balik GST tidak dibuat dalam masa dua minggu seperti ditetapkan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 4:52 PM