Zaid Salim

Kuala Terengganu: Kibaran 10,000 Jalur Gemilang menghiasi setiap ruang dan gerai di Pasar Chabang Tiga, di sini, hari ini, hasil inisiatif 400 peniaga bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan.

Pengerusi Pasar Chabang Tiga Zabidi Zahid berkata, pihaknya terharu dengan solidariti ditunjukkan peniaga bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

"Setiap tahun apabila tiba Bulan Kemerdekaan, pasar ini dihiasi Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan terhadap negara.

"Namun, tahun ini sambutan sangat meriah dan luar biasa apabila semua 400 peniaga di pasar ini memberi kerjasama dan sepakat menghias gerai mereka dengan bendera yang dibeli sendiri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, peniaga memberi sambutan luar biasa dan sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi mencantikkan gerai mereka dengan bendera kemegahan negara.

10,000 Jalur Gemilang yang dipasang di setiap ruang dan gerai di Pasar Chabang Tiga sebagai tanda kecintaan dan menyemai semangat patriotime terhadap negara. FOTO Ghazali Kori
10,000 Jalur Gemilang yang dipasang di setiap ruang dan gerai di Pasar Chabang Tiga sebagai tanda kecintaan dan menyemai semangat patriotime terhadap negara. FOTO Ghazali Kori

"Keadaan negara yang teruk diserang Covid-19 juga menambah semangat peniaga untuk memasang Jalur Gemilang di gerai masing-masing sebagai simbolik dalam 'berperang' dengan musuh yang tidak nampak," katanya.

Peniaga warga emas, Fatimah Taib, 68, berkata, dia berniaga di pasar berkenaan sejak awal 1990-an dan tidak pernah melihat suasana seperti itu setiap kali tiba Bulan Kemerdekaan.

"Ini kali pertama mak cik rasa lain sambutan Hari Kebangsaan tahun ini tidak sebagaimana yang diadakan pada tahun sebelum ini.

"Semua bendera di gerai mak cik ini dihiasi dengan bantuan anak dan tidak pasti berapa banyak perbelanjaan dikeluarkan bagi membeli bendera ini," katanya yang berasal dari Kampung Chabang Tiga, di sini.

Seorang lagi peniaga, Norhazana Harun, 38, berkata, dia membelanjakan kira-kira RM1,000 itu bagi mempersiapkan gerai menjelang 31 Ogos ini.

"Bendera (Jalur Gemilang) kira-kira 700 helai pelbagai saiz dan dipasang selepas waktu berniaga bermula malam sehingga jam 2 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 3:46 PM