MOHD Salleh Mat Lazim, 47, (kanan) dibantu anaknya Nurul Husna Mohd Salleh, 6, menggantung jalur gemilang di sekitar rumah sempena sambutan hari kemerdekaan ke 61 di kediamannya di Kampung Batu Lima, Simpang Empat.  FOTO Sharul Hafiz Zam
MOHD Salleh Mat Lazim, 47, (kanan) dibantu anaknya Nurul Husna Mohd Salleh, 6, menggantung jalur gemilang di sekitar rumah sempena sambutan hari kemerdekaan ke 61 di kediamannya di Kampung Batu Lima, Simpang Empat. FOTO Sharul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman


BIARPUN hanya mengusahakan sawah, semangat petani bagi menyambut Hari Kebangsaan harus dipuji apabila dia sanggup membelanjakan lebih RM500 bagi memasang 200 Jalur Gemilang di rumahnya di Kampung Pinang, Simpang Empat, Alor Setar.

Mohd Salleh Md Lazim, 47, berkata, dia tidak kisah menghabiskan wang sebanyak itu demi menyemarakkan semangat kemerdekaan kepada keluarga dan masyarakat setempat.

Bagaimanapun katanya, dia sedikit terkilan apabila ada antara benderanya dicuri individu tidak bertanggungjawab menyebabkan perbelanjaan lebih terpaksa dikeluarkan.

"Jika bendera dicuri, saya terpaksa keluarkan lagi wang untuk beli yang baru, namun itu tidak melemahkan semangat saya untuk mengindahkan halaman rumah dengan Jalur Gemilang.

"Bukan niat saya untuk menunjuk, tetapi semangat patriotik yang membara dalam jiwa mengilhamkan saya untuk terus memasang bendera sebagai tanda menghargai jasa pejuang terdahulu yang banyak berkorban demi negara," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Dalam masa sama, Mohd Salleh turut melukis Jalur Gemilang, bendera Kedah dan bunga raya pada bahagian dinding dan siling rumahnya.

"Tahun lalu saya hasilkan lukisan Jalur Gemilang di siling rumah dan tahun ini saya tambah bunga raya di bahagian dinding rumah pula agar lebih menarik.

"Kami anak-beranak bergilir mengecat dan melukis dan hingga hari ini sudah lebih 90 peratus siap dan saya cukup berpuas hati," katanya yang mempunyai lima anak.

Selepas 11 tahun laman rumah itu dihiasi Jalur Gemilang setiap kali bulan Ogos, Mohd Salleh berharap usahanya itu mendapat perhatian syarikat korporat atau agensi kerajaan agar usaha itu dapat diteruskan tahun hadapan.

Katanya, dia mempunyai lebih banyak idea untuk menghiasi rumahnya dengan Jalur Gemilang, namun ia terbatas akibat kekangan kewangan.

"Saya juga mahu memasang lebih banyak bendera di hadapan rumah terutama di sepanjang Terusan Wan Mat Saman sebagai tanda menghargai jasa petani dan pemimpin terdahulu mewujudkan sistem saliran untuk tanaman padi.

"Bagi pengguna jalan raya Alor Setar-Sungai Petani, saya yakin mereka akan lebih terpegun dengan hiasan bendera yang lebih banyak di hadapan rumah dan terusan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 9:39 AM