GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib

POLIS menahan dua lelaki selepas memperdaya seorang ahli perniagaan dengan tawaran projek perlombongan bauksit yang tidak wujud di Sungai Karang di Kuantan, hingga kerugian RM90,000.

Kedua-dua suspek berusia 48 tahun dan 31 tahun itu ditahan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada jam 9.15 malam, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian penipuan bermula pada April 2015, selepas mangsa iaitu lelaki berusia 58 tahun bertemu dengan suspek untuk mengusahakan lombong bauksit.

“Suspek berjanji kepada mangsa untuk memberi hak mengeluar, memproses, menyimpan dan menjual bauksit serta tanah laterite di Lot 551 Mukim Sungai Karang, dekat sini.

“Mereka mendakwa lot tanah berkenaan kepunyaan Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

“Mangsa yang percaya kemudian membuat bayaran tunai sebanyak RM90,000 kepada suspek berusia 48 tahun bagi tujuan wang proses,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pada 4 Ogos tahun sama, satu perjanjian ditandatangani antara suspek dan mangsa yang mewakili syarikat masing-masing untuk menguruskan cari gali bahan mineral bauksit dan tanah laterite di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa tidak berpuas hati apabila membuat semakan dan mendapati seorang daripada suspek berstatus bankrap sejak 2013 dan dia sepatutnya tidak boleh menandatangani apa-apa surat perjanjian.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Mohd Wazir berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tiga hari di IPD Kuantan dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, esok.

“Semakan mendapati, suspek pertama berusia 48 tahun mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkait kesalahan penipuan manakala, seorang lagi suspek mempunyai tiga rekod lampau bagi kesalahan yang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 2:41 PM