Suzalina Halid


KERAJAAN akan berusaha mencari jalan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Lombok, Indonesia, akibat gempa bumi melanda pulau itu, Ahad lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan menyediakan suatu penempatan khas di kawasan selamat di Lombok bagi menempatkan semua rakyat Malaysia yang terkandas di sana.

“Saya kira kita akan membuat penempatan di sana untuk melicinkan kerja mengenal pasti supaya mereka dapat kembali secepat mungkin, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Simulasi Bencana Gempa Bumi dan Tsunami di Sekolah dan Komuniti Kota Kuala Muda, hari ini.

Turut berangkat ke program itu ialah Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk penambahbaikan laluan di belakang SMK Kuala Muda yang digunakan sebagai laluan evakuasi, selain menambahbaik Pusat Pemindahan Sementara di sekolah itu.

Lombok Utara mengalami gegaran gempa bumi bermagnitud yang turut dirasai di sekitar Pulau Lombok, Pulau Sumbawa, Pulau Bali dan Jawa Timur pada jam 6.46 petang, Ahad lalu.

Sehingga kini, lebih 90 mangsa dilaporkan terkorban akibat bencana itu namun ia tidak membabitkan rakyat Malaysia.

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia melalui kenyataan sebelum ini, memaklumkan seramai 161 warga Malaysia yang masih berada di pulau pelancongan itu sudah dapat dihubungi dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Pada masa sama, Dr Wan Azizah berkata, pihaknya menzahirkan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terbabit dalam bencana itu yang kini sudah dua kali melanda Lombok pada Julai lalu yang mengorbankan seorang rakyat Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan sudah menawarkan untuk menghantar misi bantuan ke Lombok melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) namun sehingga kini belum menerima maklum balas dari sana.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada mereka dan saya kira kita haruslah belajar dari pengalaman supaya kita turut siapsiaga (kemungkinan bencana) memandangkan jarak Malaysia dan Lombok adalah dekat, “ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 1:41 PM