SYED Saddiq. FOTO Arkib NSTP
SYED Saddiq. FOTO Arkib NSTP
Hanneeyzah Bariah Baharin


MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disifatkan pemimpin tidak profesional apabila melabel Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sebagai macai politik.

Setiausaha GPMS Terengganu, Azmi Abd Rahman berkata, Syed Saddiq juga sengaja menggunakan pentas Dewan Rakyat untuk mencemarkan nama GPMS sebagai satu pertubuhan belia keramat yang berakar umbi sejak 70 tahun lalu.

Justeru katanya, Ahli Parlimen Muar itu dituntut melakukan permohonan maaf kepada rakyat khususnya golongan belia.

“GPMS Terengganu kecewa dan menentang sekeras-kerasnya kenyataan tidak bertanggungjawab Menteri Belia dan Sukan ketika membuat ulasan pada persidangan Parlimen.

“Kegopohan bercakap tanpa fakta yang jelas dan berterabur dengan mengkritik kepemimpinan belia khususnya GPMS daripada perspektif yang dangkal, dilihat tidak mencerminkan integriti profesional sebagai seorang menteri.

“Kita berpendapat beliau sudah merancang dengan rapi untuk menyebut perkara itu bagi menggambarkan dasar baharu Belia Negara yang akan diperkenalkan kelak.

“Beliau sepatutnya mengkaji sejarah perjuangan GPMS sebagai pertubuhan yang sentiasa memperjuangkan agenda negara daripada semua sudut sebelum mengeluarkan kenyataan itu,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Terengganu, hari ini.

Azmi berkata, Syed Saddiq cuba menekan GPMS dan mahu melihat gabungan itu meninggalkan perjuangan kemuliaan agama, warisan dan pertiwi.

“Inilah jalan pintas bagi beliau untuk mencari populariti sendiri dengan merendah-rendahkan pertubuhan belia seperti GPMS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 3:16 PM