Teoh Pei Ying dan Nurul Hidayah Bahaudin


SEWA rumah khas untuk kumpul hasil kegiatan. Itu taktik sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau dikenali sebagai ‘Macau Scam’ yang dikesan aktif mencari mangsa di seluruh negara.

Bagaimanapun, helah itu terbongkar selepas polis menyerbu kondominium di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur dan menahan empat lelaki warga Taiwan pada 24 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita yang bekerja sebagai pegawai di syarikat minyak terkemuka berusia 47 tahun pada Januari lalu.

“Wanita itu memaklumkan menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kastam memberitahu dia mempunyai tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM16,000 serta terbabit dengan kes jenayah di Kedah.

“Wanita itu kemudiannya disambung ke talian Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan memaklumkan dia terbabit dengan kes penyalahgunaan dadah serta penggubahan wang haram sebelum panggilan berkenaan disambung ke mahkamah bagi menyiasat aset dan hutang mangsa,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, mangsa diminta untuk memberikan maklumat akaun bank miliknya kononnya bertujuan bagi membersihkan namanya.

Beliau berkata, sebaik mangsa menyerahkan segala butiran akaun bank miliknya, dia mendapati wang RM10,500 di dalam akaun berkenaan dipindahkan ke satu akaun milik seorang lelaki tempatan sebelum menyedari dirinya ditipu.

“Bertindak atas laporan dibuat, satu serbuan dilakukan pada 6 petang 24 Julai lalu di kondominium di Jalan Kuchai Lama, dan kami menahan empat lelaki warga Taiwan berusia antara 27 hingga 35 tahun.

“Dalam serbuan itu, kami turut merampas 56 kad ATM pelbagai bank, 15 telefon bimbit, enam kad sim telefon bimbit, satu modem WiFi dan satu komputer riba,” katanya.

Mazlan berkata, sindiket itu dipercayai terbabit dengan 24 kes Macau Scam di seluruh negara membabitkan kerugian lebih RM888,000 dan aktif sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, pihaknya percaya lokasi serbuan adalah tempat mengumpul hasil kegiatan dan terdapat pusat panggilan beroperasi di kawasan lain.

“Rumah berkenaan disewa pada harga RM3,000 sebulan daripada seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.

“Kami masih mengesan lelaki berkenaan yang dipercayai turut mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket terbabit.

“Semua suspek ditahan selama tujuh hari bermula 25 Julai hingga hari ini dan akan disambung reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 4:31 PM
MAZLAN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barang rampasan hasil penahanan empat lelaki yang juga ahli sindiket Macau Scam pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Owee Ah Chun.
MAZLAN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barang rampasan hasil penahanan empat lelaki yang juga ahli sindiket Macau Scam pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Owee Ah Chun.