Mohd Sabran Md Sani


MODAL besar dilaburkan Kelab Pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim (SIGS) Band menaja perjalanan kumpulan pancaragam sekolah itu berbaloi apabila merangkul emas pada Pertandingan Pancaragam Dunia (WAMSB) 2018 di Taipei, Taiwan, kelmarin.

Dalam pertandingan peringkat akhir itu, pasukan ChienKuo High School Marching Band, dari Taiwan muncul juara dengan markah 92.2 peratus, diikuti tempat kedua, Victoria Institution Cadet Corp Marching Band dari Malaysia (91.6 peratus), Calgary Stetson Show Band, dari Kanada, tempat ketiga (90.9 peratus), SIGS Band keempat (88.5) dan Stell Matulina Girls Senior High School Band, Taiwan (85.0).

Anugerah emas itu hanya diberikan kepada pasukan yang memperoleh markah 85 ke atas dan ia pencapaian tertinggi pertandingan pancaragam dunia.

Ketua Guru Pembimbing Pancaragam dan Orkestra SIGS Johor Bahru, Rohazuddin Hassan berkata, kejayaan itu amat membanggakan kerana mereka menewaskan pasukan hebat daripada tujuh negara pesaing.

“Sudah pasti kami sangat gembira dan bangga apabila diumumkan pemenang pingat emas bagi kategori Drill Competition,” katanya ketika berkongsi kejayaan itu, hari ini.

Turut berkongsi kejayaan itu, 11 guru dan lima jurulatih termasuk Pengetua SIGS, Zuraidah Said.

Rohazuddin berkata, kejayaan itu rekod terbaik yang dicapai SIGS BAND hasil usaha gigih serta dedikasi tinggi setiap ahli pancaragam.

“Mereka sentiasa memberi komitmen baik untuk berlatih dan melakukan persembahan terbaik yang boleh dianggap amat luar biasa.

“Kejayaan ini juga adalah hasil semangat dan kerjasama kuat di antara ibu bapa, alumni dengan pihak sekolah dalam segala perkara,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan meraih anugerah itu dikongsi semua peserta pada majlis penyampaian hadiah di Stadium Arena Taipei, pada jam 9 malam, kelmarin.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru dan semua pihak yang menaja kami,” katanya.

Sementara itu, kumpulan pancaragam itu akan pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 2:30 PM
PETIKAN video menunjukkan persembahan pancaragam SMK Sultan Ibrahim pada Pertandingan Pancaragam Dunia (WAMSB). FOTO Facebook/Taiwan Marching Band
PETIKAN video menunjukkan persembahan pancaragam SMK Sultan Ibrahim pada Pertandingan Pancaragam Dunia (WAMSB). FOTO Facebook/Taiwan Marching Band