RAKAMAN  menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal cuba memecahkan cermin kereta Perodua Axia di persimpangan lampu isyarat, kelmarin.
RAKAMAN menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal cuba memecahkan cermin kereta Perodua Axia di persimpangan lampu isyarat, kelmarin.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Empat lelaki berputih mata apabila cubaan mereka menyamun sebuah kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Taman Teknologi Malaysia Bukit Jalil dengan cara memecahkan cermin kenderaan itu gagal.

Kejadian jam 10 pagi kelmarin berjaya dirakam kamera dari sebuah kenderaan berada di belakang kereta Perodua Axia yang cuba dipecahkan cermin oleh empat lelaki terbabit sebelum video berkenaan tular di media sosial.

Dalam rakaman video berdurasi dua minit empat saat itu menunjukkan kereta Perodua Axia berkenaan berhenti di persimpangan lampu isyarat di lokasi kejadian sebelum dihampiri dua motosikal dinaiki empat lelaki.

Seorang daripada mereka kemudian bertindak mengetuk cermin kereta di bahagian penumpang depan beberapa kali.

Bagaimanapun, selepas hampir 10 saat berbuat demikian, dia gagal memecahkan cermin kenderaan itu lalu kumpulan terbabit memecut motosikal.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Kamal Khan Mohd Shariff ketika dihubungi memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 11:17 AM