Antara asrama atau tempat tinggal pekerja yang diperiksa  Jabatan Tenaga Kerja Selangor dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dalam Ops Patuh di sekitar Bandar Baru Bangi.
Antara asrama atau tempat tinggal pekerja yang diperiksa Jabatan Tenaga Kerja Selangor dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dalam Ops Patuh di sekitar Bandar Baru Bangi.
Fazrik Kamarudin

Kajang: Tidak ubah seperti setinggan malah ada kebanyakan penghuninya terpaksa memasak nasi dan makanan di bawah katil berikutan keadaan bilik asrama yang sempit.

Malah lebih perit apabila 24 pekerja warga asing terbabit terpaksa berkongsi dua tandas selain ruang bilik sesak tanpa sistem pengudaraan yang sempurna.

Itu antara keadaan terpaksa dihadapi pekerja warga asing yang bekerja di beberapa premis perniagaan susulan tindakan majikan mengabaikan kebajikan mereka.

Perkara itu terbongkar selepas Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor bersama kakitangan ibu pejabat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menjalankan Ops Patuh di enam premis di sekitar Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.

Ops Patuh adalah operasi penguatkuasaan yang dijalankan JTKSM bagi mengesan dan melakukan pencegahan awal sebarang pelanggaran undang-undang perburuhan di seluruh negara yang bermula 8 Jun lalu.

Operasi diketuai Ketua Pengarah Tenaga Kerja, Datuk Mohd Jeffrey Joakim bersama 22 pegawai bermula pada jam 9 pagi sehingga jam 5 petang tertumpu di restoran dan gedung menjual tekstil.

Mohd Jeffrey berkata, selain di Selangor, operasi yang sama turut diadakan di Melaka dan Kedah.

“Seperti yang dapat kita lihat pada hari ini (semalam), ada majikan gagal menyediakan tempat tinggal yang sempurna untuk pekerja mereka. Pekerja ini tinggal dalam persekitaran yang kotor dan menjijikkan.

“Ada juga asrama yang gagal menitikberatkan ciri-ciri keselamatan, dapur memasak diletakkan bersebelahan almari baju dan katil. Ruang tidur yang tidak sempurna dan kotor. Perkara seperti ini amat kita kesali.

“Majikan perlu memainkan peranan mereka, kita mahukan mereka mengambil langkah proaktif dalam memastikan kebajikan pekerja mereka dijaga sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata, hasil operasi itu, 11 kertas siasatan dengan 27 pertuduhan akan dibuka.

“Sebanyak enam premis majikan di sektor restoran, hotel dan tekstil diperiksa dan didapati pelbagai pelanggaran undang-undang mengikut Akta Kerja 1955 dilakukan majikan.

“Antara pelanggaran yang dikesan adalah kegagalan melaporkan penggajian pekerja asing, gagal menyediakan kontrak perkhidmatan, tidak menyediakan daftar pekerja dan pembayaran gaji serta pemotongan gaji yang tidak mematuhi akta.

“Sehubungan itu, tindakan undang-undang termasuk pendakwaan diambil ke atas majikan yang didapati melanggar peruntukan yang ditetapkan. Mereka boleh didenda maksimum sehingga RM10,000 bagi setiap kesalahan yang disabitkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 11:56 AM