Nur Saliawati Salberi

PENGUMPUL besi buruk didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan membunuh pemilik bengkel kereta minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Hasan Masala, 40, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Koo Kar Chung, 56, di bengkel membaiki kereta di Taman Malim Jaya, antara 7 hingga 7.30 pagi, 8 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria yang melakukan pendakwaan tidak mencadangkan jaminan ke atas tertuduh dengan alasan kesalahan membabitkan hukuman gantung.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 September ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Akhbar sebelum ini melaporkan, dua individu, termasuk wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes pengusaha bengkel kenderaan yang ditemui mati dipercayai dibunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris dilaporkan berkata, kedua-dua individu terbabit ditahan sepasukan anggota polis di Kampung Bakar Batu, Bachang, Batu Berendam, 9 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 5:41 PM
HASAN diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas didakwa atas tuduhan membunuh seorang pemilik bengkel kereta. FOTO/ MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
HASAN diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas didakwa atas tuduhan membunuh seorang pemilik bengkel kereta. FOTO/ MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER