DR WAN Azizah pada sidang media di  Ulaanbaatar. FOTO BERNAMA
DR WAN Azizah pada sidang media di Ulaanbaatar. FOTO BERNAMA
Daripada Manan Samad


“BIAR mahkamah tentukan," kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan, membabitkan pecah amanah dan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, undang-undang perlu ditegakkan berdasarkan bukti yang ada.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) di Ulaanbaatar.

Mengenai ‘gag order’ (perintah tegahan) yang dipohon Najib, Dr Wan Azizah berkata bekas Presiden UMNO itu berhak berbuat demikian.

"Tak adil jika perbicaraan berlaku di media," katanya.

Perintah tegahan itu adalah supaya masyarakat dan media tidak membuat sebarang komen atau ulasan yang menyentuh berhubung merit kes pecah amanah dan salah guna kuasa yang dihadapi Najib.

Bekas Perdana Menteri itu dibebaskan selepas dijamin oleh dua anaknya yang membayar sebahagian daripada jaminan RM1 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, beliau menerima jemputan untuk bertemu Presiden Mongolia, Khaltmaagiin Battulga di Istana Negara Mongolia.

Ditanya adakan kunjungan itu turut mempunyai kaitan dengan siasatan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibuka semua, beliau berkata, adalah penting untuk membuktikan Malaysia sentiasa bertindak mengikut undang-undang di mata antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah bersyukur suaminya Datuk Seri Anwar

Ibrahim sudah keluar dari hospital selepas menjalani rawatan sakit belakang.

"Beliau keluar ketika saya dalam perjalanan ke sini (Selasa)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 10:04 PM