ARMIN ketika hadir di  Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
ARMIN ketika hadir di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
Norrasyidah Arshad


MAHKAMAH Majistret Shah Alam menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dera membabitkan suami penyanyi Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri.

Keputusan itu dibuat Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin selepas proses penyerahan dokumen kes, hari ini.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amira Haziqah Zulkifli.

Sementara itu, usaha mendapatkan Armin, 53, tidak berjaya malah dia memberi isyarat tidak mahu membuka mulut.

Pada 15 Mei lalu, bekas pramugara itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan luka dan lebam ke atas anak lelaki berusia sembilan tahun.

Armin didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Denai Alam Shah Alam, antara jam 8 malam hingga 10.30 malam, 24 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman

penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 28 Mei pula, Mahkamah Majistret mengekalkan syarat jaminan melarang Armin menemui anak mereka yang didakwa dicederakannya serta Ziana sepanjang perbicaraan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 3:23 PM