Zaharah meninggal dunia selepas Perodua Kelisa dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan Naza Citra di Bukit Jawa, Pasir Puteh, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Zaharah meninggal dunia selepas Perodua Kelisa dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan Naza Citra di Bukit Jawa, Pasir Puteh, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


WANITA yang juga pemilik kedai emas maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Bukit Jawa, Pasir Puteh, hari ini.

Kemalangan 2.15 petang itu membabitkan kereta Perodua Kelisa dipandu mangsa, Zaharah Abdul Rahman, 64, dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra dipandu seorang guru.

Akibat kemalangan itu, Zaharah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya serta pemandu Naza Citra terbabit cedera.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Jaafar Husin, berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.24 petang dan seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, ketika sampai pihaknya mendapati kaki mangsa tersepit di bahagian pemandu dan mengambil masa selama lima minit untuk mengeluarkan wanita itu.

“Pihak hospital yang membuat pemeriksaan mengesahkan wanita itu maut di lokasi kejadian sebelum kami menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 9:18 PM