Erika George


SEORANG warga emas maut, manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan pacuan empat roda yang bertembung dengan bas pekerja di Kilometer 42, Jalan Pesisir Bintulu-Miri di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian pada 7.30 malam, mangsa dikenali sebagai Manggum Badin, 74, yang juga pemandu pacuan empat roda terbabit.

Menurutnya, mangsa yang parah pada bahagian kepala disahkan meninggal dunia pada 11 malam ketika menjalani rawatan di Hospital Bintulu.

Katanya, seorang penumpang kenderaan itu dan lima penumpang bas pekerja cedera akibat impak pelanggaran, manakala pemandu bas tidak cedera.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca akibat kecuaian pemandu pacuan empat roda dari arah Samalaju ke Bintulu yang masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas pekerja terbabit.

“Impak perlanggaran yang kuat itu turut mengakibatkan pacuan empat roda yang remuk teruk pada bahagian hadapan lalu terbabas ke bahu jalan, manakala bas pekerja berkenaan terperosok hampir 300 meter ke dalam semak di tepi jalan utama,” katanya.

Katanya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca berlaku insiden terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Jun 2018 @ 7:14 PM
KEADAAN bahagian depan pacuan empat roda yang remuk selepas bertembung dengan bas pekerja di Kilometer 42, Jalan Pesisir Bintulu-Miri, semalam. FOTO Erika George
KEADAAN bahagian depan pacuan empat roda yang remuk selepas bertembung dengan bas pekerja di Kilometer 42, Jalan Pesisir Bintulu-Miri, semalam. FOTO Erika George