MASZLEE. FOTO Arkib NSTP
MASZLEE. FOTO Arkib NSTP
Wartawan NSTP


KEMENTERIAN Pendidikan sedang menanti hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan pemberian kontrak membekalkan tenaga solar dan diesel di 369 sekolah di Sarawak.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, siasatan dalaman yang dijalankan pihaknya sejak minggu lalu juga masih belum selesai.

"(Isu penyelewengan kontrak tenaga solar) masih dalam siasatan. SPRM juga sudah mulakan siasatan beberapa bulan yang lalu," katanya ringkas ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, portal berita melaporkan kemungkinan berlaku penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan bekas pemimpin tertinggi negara.

Portal itu turut melaporkan pada Januari tahun lalu, pemimpin terbabit juga didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu untuk melaksanakan projek berkenaan.

Isnin lalu, Maszlee dilaporkan berkata, sebanyak 369 sekolah di Sarawak tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunakan genset diesel untuk menjana elektrik, yang dibekalkan oleh beberapa kontraktor sebelum tahun lalu.

Bagaimanapun, kata beliau, mulai 1 Januari 2017, Jepak Holding Sdn Bhd, diberikan kontrak membekalkan elektrik kepada semua sekolah itu bagi tempoh tiga tahun dengan nilai melebihi RM1 bilion termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dengan peratusan siap projek itu jauh rendah lebih rendah daripada sasaran.

SPRM turut dilaporkan sudah menjalankan siasatan awal terhadap isu itu pada awal April lalu selepas menerima maklumat daripada orang awam dan sudah mengambil beberapa dokumen daripada Kementerian Pendidikan untuk diteliti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Jun 2018 @ 2:32 PM