BERNAMA

TEMPOH tawaran diskaun tol sebanyak 50 peratus di semua rangkaian lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), yang berakhir tengah malam ini, dilanjutkan sehingga 4 pagi esok.

Lanjutan tempoh penawaran diskaun itu merangkumi kesemua transaksi tol kecuali bagi kenderaan Kelas 2 dan 3 di semua rangkaian lebuh raya kendalian syarikat konsesi berkenaan.

PLUS dalam kenyataannya, berkata lanjutan tawaran itu bagi memastikan pengguna mendapat peluang untuk menyambut Aidilfitri dengan selamat.

Bagaimanapun, lanjutan tempoh penawaran diskaun itu tidak membabitkan transaksi di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor, menurut kenyataan itu, hari ini.

PLUS turut menasihatkan orang ramai agar memandu secara berhemah dan mematuhi had laju serta mengikut arahan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 7:06 PM