Mohd Zakiman (kiri) dan  Abdul Rahman dihadapkan ke Mahkamah Majistret terhadap tuduhan  mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di kawasan semak Pantai Pak Amat, Pengkalan Chepa, minggu lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
Mohd Zakiman (kiri) dan Abdul Rahman dihadapkan ke Mahkamah Majistret terhadap tuduhan mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di kawasan semak Pantai Pak Amat, Pengkalan Chepa, minggu lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


DUA rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret, di Kota Bharu hari ini terhadap tuduhan merogol dan mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, di kawasan semak minggu lalu.

Abdul Rahman Rosli, 23, dan Mohd Zakiman Ab Rahman, 32, yang bertugas sebagai Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Di Mahkamah Sesyen, Abdul Rahman didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun dua bulan, di kawasan semak Pantai Pak Amat, Pengkalan Chepa antara jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi, 4 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Hakim Zaman Mohd Noor membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan menetapkan 12 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret, Mohd Zakiman didakwa mencabul mangsa pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan, jika sabit kesalahan.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar dan Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin manakala tertuduh diwakili peguam Shahruddin Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 4:52 PM