ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa tersepit di dalam kereta yang terbabas ke dalam gaung di Kilometer 19, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh menghala ke Rawang berhampiran Hutan Rimba Templer di Gombak, awal pagi hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa tersepit di dalam kereta yang terbabas ke dalam gaung di Kilometer 19, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh menghala ke Rawang berhampiran Hutan Rimba Templer di Gombak, awal pagi hari ini. FOTO ihsan bomba.
Nor Azizah Mokhtar


LELAKI maut manakala rakannya parah selepas kereta Honda Accord dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 19, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh menghala ke Rawang berhampiran Hutan Rimba Templer di Gombak, awal pagi hari ini.

Dalam kemalangan 2 pagi itu, pemandu kereta itu, Liew Yeow Fei, 32, dari Raub, Pahang yang tersepit di tempat duduknya disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Rakannya iaitu lelaki tempatan yang belum dapat dikenal pasti identitinya terselamat, namun parah di beberapa anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at, berkata kereta dipandu Liew dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung di sebelah kiri jalan.

“Kami meminta bantuan bomba untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa kerana tersepit dalam kenderaan yang terbalik di dalam gaung.

“Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan dan si mati turut dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Katanya, siasatan kini sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan lokasi untuk kerja menyelamat mangsa.

“Mereka mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

“Operasi menyelamat turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gombak dan Kepong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 10:36 PM