Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim
Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi membuat laporan polis berhubung isu tuntutan palsu berjumlah RM11,900 yang mendapat teguran dalam Laporan Audit Negara 2019.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya mengambil tindakan awal dengan membuat laporan polis sebaik mendapat menerima maklumat berhubung ketirisan itu menerusi laporan audit berkenaan pada September lalu.

"Pegawai yang menguruskan dokumen tuntutan perbelanjaan itu juga sudah meletakkan jawatan.

"Tiada kompromi dalam soal integriti dan urusan seterusnya kita serahkan kepada pihak berkuasa. Kita mahu kes pemalsuan dokumen tuntutan ini disiasat (pihak berkuasa).

"Kita bersifat terbuka dan tiada siapa terkecuali daripada tindakan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azman mengulas mengenai pendedahan Laporan Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 membabitkan tuntutan palsu PKM DUN Jabi terhadap Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Besut pada 2019.

Menurut laporan itu, semakan mendapati resit asal pada tuntutan pembayaran yang dibuat PKM DUN Jabi itu wujud kesan pindaan.

Azman berkata, tuntutan pembayaran itu dilunaskan PTD Besut tidak membabitkan mana-mana akaun peribadi individu sebaliknya ke dalam akaun PKM DUN Jabi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Luar Bandar Terengganu itu juga memberitahu, pembayaran semula lebihan tuntutan sebanyak RM11,900 kepada PTD Besut juga dilakukan baru-baru ini.

"Fakta ini kami serahkan untuk siasatan pihak polis. terima kasih Jabatan Audit Negara yang menjadi semak dan imbang kepada kerajaan untuk mendapat sistem pentadbiran yang telus dan berintegriti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 5:23 PM