LADAMAH (dua dari kiri) menunjukkan parang yang dirampas daripada suspek. FOTO Rafiqah Dahali
LADAMAH (dua dari kiri) menunjukkan parang yang dirampas daripada suspek. FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali


LELAKI ditahan selepas dipercayai mencederakan jirannya menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Sungai Padang, Papar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata, kejadian berlaku pada 2.30 petang semalam apabila mangsa, 30, dipercayai menegur suspek, 32, sehingga berlaku pertengkaran.

Katanya, mangsa sebelum itu menegur suspek yang gemar memandu laju di sekitar kawasan kediaman mereka kerana bimbang berlaku bahaya terutama kepada kanak-kanak.

“Berang dengan teguran itu, suspek kemudian masuk ke dalam rumah mengambil sebilah parang dan mengejar mangsa sambil melibas parangnya berkali-kali sehingga mencederakan lengan selain ibu jari tangan kiri mangsa hampir putus.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan susulan, manakala suspek berjaya ditahan pada 10 pagi tadi untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan suspek dan mangsa pernah bertengkar, sebelum ini.

“Difahamkan, sebelum ini mangsa dan suspek pernah bergaduh tetapi berjaya diselesaikan secara baik, namun mungkin suspek masih berdendam terhadap mangsa sehingga menyebabkan kejadian berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 6:05 PM