Mohd Rizal Abdullah


BUKAN hanya kehilangan wang tunai, peniaga wanita juga pengsan selepas diragut dua lelaki dalam kejadian berhampiran Pasar Utama Miri, Miri, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada 5 pagi itu, mangsa berusia 55 tahun mahu memulakan perniagaan menjual ayam di pasar itu sebelum didatangi suspek dari arah belakang.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang menaiki motosikal merentap beg tangan mangsa sehingga mengakibatkan mangsa terjatuh dan terseret di atas jalan, lalu pengsan.

"Mangsa tidak sedarkan diri selama lebih 5 minit sebelum mangsa diselamatkan orang ramai dan peniaga berhampiran kawasan itu," katanya.

Katanya, selain wang tunai, terdapat barangan lain di dalam beg sandang mangsa antaranya telefon, dokumen pengenalan diri dan lesen perniagaan.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri berhubung kejadian itu," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan kes sedang disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 12:23 PM