FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


REMAJA lelaki maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh kereta dalam kemalangan di Batu 37 Sabak Bernam, hari ini.

Dalam kejadian 2.45 pagi, mangsa Muhamad Fareezul Aiman Mohd Suhif, 15, yang menunggang Yamaha 125Z disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat patah leher.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Sungai Besar menuju ke rumahnya di Sungai Air Tawar, manakala kereta dari arah Batu 37 ke Lorong Haji Atan.

“Apabila tiba di lokasi, kereta berkenaan membelok ke kanan dan melanggar mangsa yang sedang menunggang motosikal di laluan itu.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa bersama motosikal tercampak di bahu jalan dan dipercayai meninggal dunia di lokasi,” katanya.

Menurutnya, pemandu Kia Spectra berusia 52 tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 6:52 PM