NORALIZAN (tengah) diiringi Rozainah (enam dari kiri) menyampaikan pek makanan kepada Pakar Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Norafidah Mohamad Noor (empat kiri) pada Program Permai & Karyawan Prihatin di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). -Foto GHAZALI KORI
NORALIZAN (tengah) diiringi Rozainah (enam dari kiri) menyampaikan pek makanan kepada Pakar Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Norafidah Mohamad Noor (empat kiri) pada Program Permai & Karyawan Prihatin di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). -Foto GHAZALI KORI
Zaid Salim


SELEPAS rumah pusaka didiaminya terbakar kira-kira 17 tahun lalu, Othman Muda, 78, memilih untuk hidup sendiri daripada tinggal bersama anak atau adik beradik.

Keputusan dibuat warga emas itu bukan kerana merajuk, tetapi semata-mata kerana tidak mahu menyusah dan membebankan anak dan adik beradik yang sudah mempunyai kehidupan sendiri.

“Pakcik dah ada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dan dengan wang ini sudah cukup untuk pakcik menyara hidup pakcik seorang tanpa menyusahkan mereka,” katanya.

Othman ditemui pada Program Singgah Sahur anjuran Pertubuhan Karyawan Kreatif Darul Iman (Karyawan) bersama Hotel Permai di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), awal pagi tadi.

Othman berkata, selepas kediamannya di tengah pusat bandar ini terbakar, dia dan arwah isteri tinggal bersama anaknya di Kampung Teluk Pasu, Manir, namun berpindah ke rumah sewa rakannya.

Katanya, selepas kematian isteri tiga tahun lalu, Othman yang juga anak sulung daripada lima beradik berasa lebih tenang hidup sendiri dan menghabiskan sisa usia di rumah sewa rakannya di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu.

“Pakcik tak mahu menyusahkan mereka dan lebih selesa hidup sendiri. Anak dan adik beradik pakcik pun tahu di mana tempat tinggal pakcik dan kalau teringin nak jumpa mereka, pakcik akan pergi ke rumah mereka.

“Pakcik berada di hentian bas ini hanya sementara menunggu waktu bersahur. Selepas berbuka dan selesai solat tarawih, pakcik akan ke sini (Kompleks Hentian Bas MBKT) membeli makanan untuk bersahur.

“Kadang-kadang pakcik bersahur di rumah bersama rakan dan kalau rasa malas nak balik, pakcik bersahur di stesen bas ini sahaja dan pulang ke rumah selepas solat Subuh,” katanya.

Sementara itu, Presiden Karyawan, Rozainah Zakaria berkata, program berkenaan adalah kali ketiga diadakan bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan, selain mengenang jasa dan pengorbanan petugas malam yang bersengkang mata menjalankan tanggungjawab diamanahkan.

“Pada tahun ini kita bekerjasama dengan Hotel Permai mengagihkan sebanyak 150 pek berisi juadah sahur berupa nasi dan ayam goreng, sambal bilis dan kurma serta air mineral kepada gelandangan di sekitar bandar raya ini dan petugas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri,” katanya selepas menyampaikan juadah sahur kepada anggota JBPM, di sini.

Program selama empat jam bermula 10 malam hingga 2 pagi tadi itu turut disertai Pemangku Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abd Rahman serta lebih 30 orang petugas hotel dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Karyawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 1:53 PM