Zarina Abdullah


TERUJA kononnya menerima hadiah daripada seorang lelaki dari Singapura, jurujual wanita kerugian RM3,000 apabila menjadi mangsa sindiket Love Scam.

Sumber berkata, mangsa yang berusia 52 tahun sebelum itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen kurier pada Isnin lalu.

Katanya, ejen berkenaan memaklumkan kononnya mangsa menerima satu kiriman bungkusan daripada seorang lelaki dari Singapura.

“Lelaki berkenaan meminta mangsa membuat sejumlah pembayaran ke satu akaun bank untuk tujuan menebus bungkusan itu.

“Tanpa berfikir panjang, mangsa menuruti permintaan berkenaan dan memasukkan wang yang diminta pada hari sama pada 3.29 petang.

“Keesokan harinya, mangsa dihubungi individu berbeza namun, dari syariat kurier sama yang memaklumkan bungkusan kiriman itu mengandungi sejumlah wang tunai.

“Lelaki itu meminta mangsa memasukkan wang RM4,500 lagi ke akaun bank diberi sebagai bayaran pelepasan bungkusan berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa yang mengesyaki ditipu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 2:55 PM