Dr Mahathir bersalaman dengan Mohamed Azmin semasa mengadakan perjumpaan berkaitan pelantikan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. FOTO Ihsan Pejabat MB Selangor
Dr Mahathir bersalaman dengan Mohamed Azmin semasa mengadakan perjumpaan berkaitan pelantikan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. FOTO Ihsan Pejabat MB Selangor
Manirajan Ramasamy; Mohd Husni Mohd Noor; Suhaila Shahrul Annuar dan Veena Babulal

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam tempoh terdekat bagi membincangkan tugas baharunya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam Kabinet Persekutuan.

Selepas pertemuan itu, beliau akan memaklumkan secara rasmi mengenai kedudukannya sama ada kekal sebagai Menteri Besar Selangor atau tidak.

“Buat masa ini, saya masih Menteri Besar Selangor. Sekiranya keputusan dibuat untuk saya bantu dalam Kerajaan Persekutuan, saya akan lepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

“Saya amat menghargai amanah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk minta saya mainkan peranan di peringkat Persekutuan. Beliau sudah maklumkan perkara ini beberapa minggu lalu tapi beliau belum membuat keputusan portfolio apa yang akan diberikan kepada saya,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di Putrajaya, semalam.

Mohamed Azmin mengadakan pertemuan lebih sejam bersama Dr Mahathir bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai peranan barunya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Katanya, perkembangan terbaru itu akan dimaklumkan kepada Sultan Selangor terlebih dahulu kerana ia membabitkan jawatan Menteri Besar dan proses itu perlu berjalan dengan baik, teratur dan tertib kerana mandat yang diberikan rakyat Selangor terlalu besar.

Justeru, Mohamed Azmin akan memastikan kestabilan dan kekuatan yang ada pada kerajaan negeri selama ini dikekalkan.

Ditanya mengenai peranan yang akan dimainkannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin berkata sudah diberi penjelasan mengenainya malah Perdana Menteri juga mahukannya kembali semula untuk membentangkan beberapa cadangan tambahan bagi memperkukuhkan kementerian itu.

“Ini adalah kementerian baru. Saya pasti ia satu cabaran hebat dan kita perlu bekerja keras untuk minggu-minggu akan datang selain tampil dengan polisi dan strategi baru,” katanya.

Menurutnya, Perdana Menteri juga secara peribadi mengiktiraf kejayaan ekonomi yang dibawa di Selangor dan mahu ia dijadikan asas untuk membangunkan negeri-negeri lain.

Ditanya mengenai kajian semula beberapa projek mega yang mungkin dipertanggungjawabkan di bawah portfolionya, Mohamed Azmin berkata, sebaik memasuki pejabat minggu depan, projek mega berkenaan termasuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang diluluskan di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dikaji semula.

“Semua projek infrastruktur mega akan dikaji semula dan amalan kami adalah melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat seperti perkhidmatan elektrik, bekalan air bersih dan perumahan awam.

“Kita ada pengalaman mengendalikan perumahan awam di Selangor dan akan membawa amalan itu ke peringkat Persekutuan.

“Saya juga berbincang dengan Perdana Menteri mengenai keperluan untuk mengadakan perbincangan semula dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan supaya kelulusan pinjaman perumahan oleh pemohon dipermudahkan,” katanya.

Beliau difahamkan kadar tidak lulus pinjaman perumahan meningkat sehingga 60 peratus.

Katanya, kerajaan boleh membina lebih banyak perumahan awam, namun sejauh mana kelulusan pinjaman perumahan diberikan kepada setiap permohonan.

“Kami juga akan berunding semula dengan pihak berkaitan mengenai terma undang-undang dan kontrak berkaitan projek-projek mega yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 3:34 PM