ANGGOTA polis menyiasat kedai emas di dalam pasar raya di Saujana Impian, Kajang, yang disamun empat lelaki, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ANGGOTA polis menyiasat kedai emas di dalam pasar raya di Saujana Impian, Kajang, yang disamun empat lelaki, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


EMPAT lelaki bersenjatakan pistol, tukul dan parang melarikan sembilan dulang barang kemas dalam kejadian samun di kedai emas di dalam pasar raya di Saujana Impian, Kajang, hari ini.

Dalam kejadian 1.36 tengah hari itu, empat suspek memakai topi keledar bertutup muka penuh dan sarung tangan masuk ke dalam kedai emas berkenaan sebelum memecahkan cermin pameran barang kemas.

Sumber berkata, dua daripada suspek yang membawa tukul memecahkan cermin pameran barang kemas, manakala seorang lagi mengacukan pistol ke arah pengawal keselamatan sambil memakinya.

“Suspek memecah cermin pada tiga ruang pameran barang kemas dan melarikan sembilan dulang yang mengandungi rantai tangan serta gelang emas sebelum melarikan diri dengan meninggalkan dua tukul di lokasi kejadian.

“Ketika kejadian, terdapat lima pekerja di dalam premis terbabit, namun mereka tidak cedera kerana sempat melarikan diri,” katanya.

Difahamkan, kedai emas berkenaan pernah disamun empat lelaki tempatan pada Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 5:10 PM