AZRUL Suhadi menunjukkan laporan polis terhadap Khairuddin yang didakwa menipu pinjaman berjumlah RM100,000, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya
AZRUL Suhadi menunjukkan laporan polis terhadap Khairuddin yang didakwa menipu pinjaman berjumlah RM100,000, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak dan Noor Azurin Mohd Sharif


LAPORAN polis dibuat terhadap calon PKR kerusi Parlimen Jasin, Melaka Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan atas tuduhan penipuan pinjaman berjumlah RM100,000 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini.

Bekas Ketua Pendaftar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar membuat laporan itu selepas mendakwa diperdaya selepas pinjaman yang diberikan kepada Khairuddin hampir setahun lalu, tidak dibayar.

Malah, dia mendakwa diberi beberapa cek yang kemudiannya didapati tidak boleh ditunaikan termasuk cek tendang.

Azrul Suhadi mendakwa Khairuddin meminta pinjaman RM90,000 daripadanya pada 21 Jun 2017, dan menunjukkan cek tarikh hadapan bernilai RM100,000 sebagai jaminan bayaran pinjaman itu.

“Beliau mendakwa memerlukan wang itu bagi menyelesaikan bayaran mahkamah sebanyak RM250,000 atas kesalahan menghina mahkamah.

“Beliau memberitahu kononnya dibenar membayar separuh denda terbabit yang jika gagal bayar, akan masuk penjara selepas Aidilfitri tahun lalu,” katanya selepas membuat laporan polis.

Katanya, atas dasar persahabatan dan hubungan akrab serta kenalan politik, dia berusaha mengumpul wang diperlukan itu dengan berkongsi bersama bekas pemimpin kanan PPBM sebelum menyerahkan wang berkenaan pada 22 Jun tahun lalu dan menerima cek bertarikh 30 Jun 2017.

“Cek atas nama sebuah syarikat itu kemudian saya cuba depositkan, namun dimaklumkan oleh pihak bank, akaun cek berkenaan sudah ditutup.

“Saya maklumkan perkara itu kepada Khairuddin sebelum beliau memberikan satu lagi cek, namun cek berkenaan juga bermasalah dan perkara sama berlaku terhadap dua lagi cek yang diberikan selepas itu termasuk satu cek tendang,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian membuat semakan latar belakang syarikat yang ceknya digunakan Khairuddin untuk membayar hutang itu dan mendapati ia salah satu syarikat diburu polis.

“Hampir setahun saya merayu agar beliau memulangkan wang saya, namun gagal dengan diberi pelbagai alasan.

“Lebih mengejutkan apabila hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya mendapati Khairuddin bertanding kerusi Parlimen Jasin.

“Saya membuat laporan polis kerana berasa diri diperdaya membabitkan pemberian cek bermasalah yang saya syaki mempunyai unsur jenayah komersial, selain berasa tertipu kerana Khairuddin mampu menjadi calon PRU-14 tetapi tidak mampu membayar hutang,” katanya.

Katanya, dia berharap polis menjalankan siasatan terhadap Khairuddin dan mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby mengesahkan menerima laporan berkenaan, berkata kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Khairuddin ketika dihubungi NSTP sebentar tadi, berkata isu terbabit dianggap selesai dan menafikan laporan yang dibuat ada kaitan dengan dirinya.

“Sebenarnya itu (yang didakwa) bukanlah saya. Saya tidak ada kena-mengena. Sebenarnya saya hanya mencadangkan saja kepada si peminjam. “Bagaimanapun, kes ini sudah selesai sebenarnya, itu saja,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 11:29 PM