GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Junaidi Ladjana


WANITA mengalami pendarahan teruk di hidung selepas dibaling gelas kaca oleh bekas teman lelakinya yang berang apabila tegurannya tidak dilayan di sebuah pusat hiburan di Luyang, Kota Kinabalu, pagi semalam.

Susulan kejadian 2.30 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun membuat laporan polis sebaik menerima rawatan di sebuah hospital swasta.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bersama beberapa rakannya ke pusat hiburan berkenaan dan ketika itu suspek yang juga bekas teman lelaki turut berada di sana.

Ketika mangsa sedang minum bersama rakannya, tiba-tiba suspek menolaknya menyebabkan mangsa terjatuh dan kepalanya terhantuk di dinding.

Berikutan itu, berlaku pertengkaran, namun mangsa beredar ke tempat duduk lain kerana enggan memanjangkan pergaduhan itu.

Bagaimanapun, ketika mangsa sedang duduk, tiba-tiba suspek mengambil gelas kaca dan membaling ke arah mangsa dan terkena pada hidungnya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Bertindak atas maklumat, pada 10.40 malam tadi, sepasukan polis menahan suspek berusia 34 tahun di Jalan Lintas, Kota Kinabalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 3:35 PM