ANGGOTA bomba menemui mayat mangsa lemas di Sungai Balah, Kuala Balah, Jeli, semalam. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba menemui mayat mangsa lemas di Sungai Balah, Kuala Balah, Jeli, semalam. FOTO Ihsan JBPM
Muhamaad Razis Ismail


KEGEMBIRAAN remaja lelaki mandi-manda bersama rakannya berakhir tragedi apabila ditemui lemas di Sungai Balah, Kuala Balah, Jeli, semalam.

Dalam kejadian pada 4.30 petang itu, mayat mangsa Amirul Hakim Samsudin, 15, ditemui anggota bomba tersepit di celah batu selepas dibawa arus deras.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jeli Pegawai Bomba Kanan II Che Azmi Che Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.36 petang sebelum tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dikatakan mandi di sungai itu sebelum dibawa arus deras.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi mencari dan menyelamat dijalankan di sekitar kawasan terbabit.

“Mayat mangsa berjaya ditemui pada 7.15 malam tadi di celah batu berhampiran lokasi dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mayat remaja itu kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Jeli untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 12:32 AM