ORANG ramai melihat mayat R. Vannie serta anaknya E.Dinesh yang maut apabila motosikal di naiki mereka bertembung dengan sebuah lori kecil di Jalan Padang Serai-Sungai Karangan berhampiran sebuah sekolah di Padang Serai, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
ORANG ramai melihat mayat R. Vannie serta anaknya E.Dinesh yang maut apabila motosikal di naiki mereka bertembung dengan sebuah lori kecil di Jalan Padang Serai-Sungai Karangan berhampiran sebuah sekolah di Padang Serai, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Azahar Hashim


DUA beranak pekerja ladang maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan lori dalam kemalangan jalan raya di Jalan Padang Serai - Sungai Karangan, semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa E. Dinesh, 19, bersama ibunya, R. Vannie, 57, dari Kampung Paya Besar, Lunas meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki motosikal datang dari arah Padang Serai menghala ke Sungai Karangan sebelum bertembung dengan lori yang dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah bertentangan.

"Berdasarkan hasil siasatan awal, apabila tiba di tempat kejadian motosikal yang dinaiki kedua mangsa telah memotong kenderaan lain dan telah masuk ke laluan bertentangan.

"Bagaimanapun, jarak motosikal mereka terlalu dekat dan motosikal yang dinaiki mereka berdua gagal mengelak dari bertembung dengan lori terbabit," katanya ketika dihubungi.

Ahmad Nasir berkata, pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat mereka di hantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk di bedah siasat sebelum di tuntut oleh ahli keluarga mangsa.

Ahmad Nasir berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 11:04 AM