BAYI yang diselamatkan oleh orang awam. FOTO ihsan pembaca
BAYI yang diselamatkan oleh orang awam. FOTO ihsan pembaca
Mohd Rizal Abdullah


SIKAP ingin tahu seorang lelaki apabila melihat plastik sampah bergerak-gerak dan bunyi seakan kucing, membawa kepada penemuan bayi lelaki di kaki lima pasar raya di Jalan Merpati, Miri, malam tadi.

Dalam kejadian 9 malam itu, bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan itu ditemui dibuang berhampiran tong sampah berhampiran restoran dalam pasar raya itu.

Sumber berkata, bayi berkenaan ditemui lelaki terbabit berusia lingkungan 50-an yang ketika itu sedang mencari kotak berhampiran tong sampah itu.

Katanya, lelaki terbabit musykil apabila ternampak satu plastik hitam berhampiran tong sampah berkenaan yang bergerak-gerak dan terdapat bunyi seakan kucing di dalam plastik itu.

"Lelaki terbabit kemudiannya membuka plastik berkenaan kerana menyangka terdapat individu yang membuang anak kucing.

"Bagaimanapun, lelaki terbabit tergamam apabila dia menemui bayi di dalam plastik berkenaan," katanya.

Katanya, orang awam yang menyedari kejadian itu kemudiannya membalut bayi berkenaan dengan kain sarung.

"Bayi berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pasukan paramedik dan dibawa ke Hospital Miri untuk pemeriksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 12:33 AM