Suzianah Jiffar dan Olivia Miwil

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, menyifatkan mendiang Datuk Siringan Gubat sebagai menteri serta individu yang sangat komited dan dedikasi terhadap tugasnya.

Beliau berkata, mendiang menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri dengan baik selain rajin dan berdedikasi.

“Saya sedih kerana kehilangan seorang rakan dalam Kabinet negeri. Mendiang banyak membantu pembangunan sumber manusia dan memberi peluang serta latihan kepada anak muda di negeri ini.

“Sehubungan itu bagi pihak kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN) Sabah, saya merakamkan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya kepada media selepas memberi penghormatan terakhir di Wisma Fook Lu Siew, di sini, semalam.

Turut hadir ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Yahya Hussin dan Datuk Raymond Tan Shu Khiah, selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

MUSA
MUSA

Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun turut menyatakan kesedihan atas kehilangan Siringan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Ranau itu.

“Saya menerima berita sedih ini malam tadi (kelmarin) dan terkejut kerana saya mengandaikan mendiang sudah pulih sebelum ini.

“Terus terang saya katakan, saya mengenali mendiang secara dekat sejak dari muda dan bersahabat rapat dengannya kerana kami berasal dari Ranau,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Bruno Vun berkata, Sabah kehilangan seorang lagi pemimpin yang prihatin dengan kebajikan kakitangan di kementeriannya dan rakyat di kawasan yang diwakilinya.

“Saya berasa amat sedih sebab kita kehilangan pemimpin yang begitu prihatin dan banyak membantu sama ada kakitangannya atau rakyat di kawasan yang diwakilinya,” katanya.

KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi  Abang Johari Tun Abang Haji Openg (empat dari kiri) diiringi Menteri Pelancongan Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (enam dari kiri) memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Siringan di Wisma  Fook Lu Siew, Kota Kinabalu.
KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg (empat dari kiri) diiringi Menteri Pelancongan Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (enam dari kiri) memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Siringan di Wisma Fook Lu Siew, Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 4:36 AM