KENDERAAN mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Papar-Kota Kinabalu, Penampang, hari ini. Orang ramai membantu menenangkan murid (gambar kecil). FOTO Ihsan PDRM dan Pembaca
KENDERAAN mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Papar-Kota Kinabalu, Penampang, hari ini. Orang ramai membantu menenangkan murid (gambar kecil). FOTO Ihsan PDRM dan Pembaca
Norasikin Daineh


GURU wanita maut, manakala dua muridnya cedera selepas pacuan empat roda dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan yang terbabas di Kilometer 16 Jalan Papar-Kota Kinabalu, Penampang, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi, mangsa Itum Likum, 52, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Lok Kawi maut ketika dalam perjalanan ke hospital.

Dua anak muridnya Najwa Batrisyia Japri dan Nurul Syafiqah Mohd Saleh patah kaki serta gigi.

Manakala tiga lagi, Mohammad Ashraf Mohd Salleh, Nur Aimie Shakira Suhaimi dan Muhammad Ilman Suhaimi tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Papar merempuh pembahagi jalan.

"Akibat itu, kenderaan terbabit terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Ford Ranger yang dipandu guru terbabit," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mangsa bersama lima penumpang berusia antara 10 hingga 12 tahun dalam perjalanan ke SK Kem Lok Kawi.

"Guru terbabit disahkan meninggal dunia dalam ambulans oleh pegawai perubatan ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala semua murid dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan di Kota Marudu, seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas di Jalan Lotong berhampiran Hospital Kota Marudu, pada 12 tengah malam semalam.

Ketika kejadian, mangsa Datu Ismail Datu Koyoh, 50, memandu Proton Iswara dari Kampung Timbang Batu menuju ke arah Hospital Kota Marudu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kenderaan mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan mengakibatkannya parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 2:51 PM