ANGGOTA polis membawa keluar mayat mangsa.
ANGGOTA polis membawa keluar mayat mangsa.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Serian: Cemburu dipercayai menjadi motif utama seorang petani mengelar isterinya menggunakan pisau di rumah pasangan itu di Kampung Bedup Longgok di sini, kelmarin.

Suspek berusia 38 tahun itu cuba menyembunyikan perbuatannya dengan datang ke Balai Polis Serian jam 1.35 tengah hari dan memaklumkan isterinya berusia 33 tahun ditemui mati berlumuran darah.

Sumber berkata, siasatan lanjut polis di rumah pasangan itu bagaimanapun menemui beberapa unsur mencurigakan selain kenyataan diberikan suspek tidak konsisten.

Menurutnya, hasil siasatan tidak menolak kemungkinan suspek mengelar isterinya akibat cemburu kerana mangsa kononnya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Polis tidak menolak kemungkinan cemburu sebagai motif utama kejadian selain keterangan diberikan suspek tidak konsisten dan ada unsur mencurigakan menyebabkan dia ditahan untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui pisau pemotong sayur di dapur dipercayai digunakan suspek untuk mengelar leher isterinya hingga mati selain tiada kehilangan barang berharga yang boleh dikaitkan dengan kejadian samun,” katanya.

Difahamkan, anak perempuan pasangan itu kini dijaga jirannya buat sementara waktu sebelum polis mendapat perintah mahkamah dan menyerahkan kanak-kanak itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Kota Samarahan membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap suspek bermula semalam hingga 17 Februari ini.

Majistret Dayang Roseling Awang Mahdini membenarkan permohonan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, mangsa ditemui berlumuran darah di ruang tamu rumahnya.

Katanya, suami mangsa mendakwa menemui wanita itu dalam keadaan sedemikian selepas pulang daripada mengambil anak perempuan mereka berusia lapan tahun dari sekolah.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati suri rumah warga Indonesia berusia 36 tahun itu mati akibat dikelar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 10:18 AM