ANGGOTA polis trafik melakukan sekatan di Jalan Banting-Pandamaran, semalam.
ANGGOTA polis trafik melakukan sekatan di Jalan Banting-Pandamaran, semalam.
Ruwaida Md Zain


Klang: Seorang lelaki memberi alasan kereta dipandunya milik isteri yang hamil selepas ditahan kerana memandu tanpa lesen dalam Op Selamat 12 di Jalan Banting-Pandamaran di sini, awal pagi, semalam.

Bagaimanapun, alasan lelaki berusia 30-an itu tidak diterima pihak berkuasa apabila dia dikenakan saman dalam operasi yang dijalankan sempena Tahun Baru Cina.

Lelaki terbabit mendakwa tidak pernah memiliki lesen memandu walaupun mula mahir memandu kereta sejak berusia 15 tahun.

Dia juga gagal memberi jawapan ketika ditanya mengapa tidak memohon lesen memandu namun memberi jaminan akan melakukannya dalam masa terdekat.

“Ini kereta isteri saya, dia sarat mengandung sebab itu saya pandu keretanya,” katanya yang ditahan di persimpangan lampu isyarat Jalan Banting-Pandamaran.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli yang berada di lokasi berkata, 83 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terutama melanggar lampu isyarat.

“Di daerah Klang Selatan, kami melakukan sekatan jalan raya di dua lokasi panas iaitu Jalan Banting-Pandamaran dan Jalan Kem.

“Sebanyak 62 saman dikeluarkan atas kesalahan melanggar lampu merah, lapan membabitkan kesalahan tiada lesen memandu, lima tiada cukai jalan,” katanya.

Menurutnya, lima saman lagi dikeluarkan atas kesalahan mengubah suai nombor pendaftaran, dua lagi tidak memakai topi keledar dan satu menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Kami harap operasi ini dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Klang Selatan,” katanya.

Menurut Shamsul Amar, bagi tempoh 14 hari Op Selamat sempena Tahun Baru Cina pada 2017, 478 kemalangan termasuk satu kemalangan maut yang mengorbankan satu nyawa dicatatkan.

“Kebanyakan kemalangan membabitkan penunggang motosikal di jalan bandaran. Saman yang dikeluarkan bagi tempoh 14 hari operasi terbabit sebanyak 3,192 membabitkan pelbagai kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai permulaan operasi sekatan jalan raya untuk Op Selamat 12, tumpuan diberikan kepada dua kawasan panas terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 10:05 AM