GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


Klang: Sengaja cabar maut dengan memandu mabuk selain berlumba haram dari waktu tengah malam hingga awal pagi.

Itu antara kegiatan 'gila' enam individu termasuk dua remaja berusia 16 dan 17 tahun yang ditahan polis menerusi Op Mabuk dan Op Samseng Jalanan dilakukan tengah malam tadi hingga awal pagi ini.

Semua mereka ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di Persiaran Raja Muda Musa, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, lima daripada enam individu ditahan atas kesalahan menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya manakala seorang lagi memandu di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, tangkapan pertama dilakukan sekitar jam 11.40 malam tadi apabila polis memberkas lelaki berusia 29 tahun yang dikesan memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Tangkapan seterusnya dilakukan terhadap dua lelaki berusia 16 dan 20 tahun. Tangkapan jam 3 pagi itu mendapati kedua-dua lelaki itu sedang berlumba haram dengan menunggang motosikal.

"Tangkapan ketiga membabitkan tiga lagi penunggang motosikal yang melakukan aksi 'zig zag' di lampu isyarat Kampung Raja Uda dekat sini sekitar jam 3.25 pagi," katanya.

Beliau berkata, kes lelaki memandu di bawah pengaruh alkohol disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 Pindaan 2020 manakala bagi kes menunggang secara melulu ia disiasat mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987.

Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, sebanyak 119 kenderaan diperiksa pada operasi berkenaan dan 107 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, mengubahsuai ekzos dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 5:38 PM